Followers

PROGRAM

Apa itu Autisme?
Autisme bermaksud satu gangguan dimana kanak-kanak mempunyai kesukaran dalam interaksi sosial dan komunikasi serta tingkahlaku terhad dan berulang-ulang. Simptom ini mula ditunjukkan oleh anak-anak seawal umur 3 tahun lagi.

Terdapat pelbagai simptom yang berbeza pada kanak-kanak yang mengalami autisme. Terdapat kanak-kanak yang mempunyai simptom yang ringan dan ada juga kanak-kanak yang mempunyai simptom yang lebih berat. Cuba anda bayangkan sekaki payung, Payung itu mewakili Autisme, dimana dibawa payung itu mengandungi pelbagai simptom yang berbeza. Kanak-kanak autisme boleh mempunyai sebahagian simptom-simptom ini atau keseluruhannya sekali (turut dikenali dengan terma ‘Autism Spectrum Disorder’).
Diantara kategori-kategori bagi gangguan Autisme ini adalah:
  • Autistic disorder” (juga dikenali sebagai “Klasik” Autisme)
  • Sindrom Asperger” (juga dikenali sebagai “Atypical Autism”)
  • Pervasive Developmental Disorder” (tiada spesifikasi tertentu)
*(Pervasive Developmental Disorder can be broken down further to include Childhood Disintegrative Disorder and Rett syndrome.)

Tidak ada ubatan mahupun rawatan bagi mengubati autisme, namun begitu terdapat beberapa kaedah untuk membantu anak-anak autisme dalam kehidupan seharian serta memaksimumkan keupayaan pembelajaran.
Tanda-tanda bagi Autisme.

Terdapat 3 jenis kelakuan pada karektor kanak-kanak Autisme:

1) Kanak-kanak Autisme mempunyai kesukaran dalam interaksi sosial, masalah dalam komunikasi (lisan dan bukan lisan), tingkah laku berulang dan obsesi melampau.

2) Kesukaran berinteraksi merupakan antara tanda utama dalam autisme. Ibu bapa biasanya akan menyedari masalah autisme di dalam diri anak mereka melalui gejala ini. Seawal bayi lagi, anak – anak yang mempunyai masalah autisme tidak memberi respon atau fokus kepada sesuatu benda dalam jangka masa yang lama. Kanak-kanak yang mempunyai autisme adalah kelihatan seperti anak-anak yang normal namun mempunyai kekurangan dalam komunikasi sosial.

3) Kanak-kanak Autisme gagal untuk memberi respons apabila nama mereka dipanggil dan tidak mahu bertentang mata semasa berkomunikasi. Mereka juga mempunyai kesukaran untuk menafsir pemikiran serta perasaan orang lain, ini kerana mereka kurang sensitif kepada ciri-ciri bersosial seperti intonasi suara dan ekspresi muka. Mereka juga tidak memandang muka apabila bercakap bagi memahami tingkahlaku yang sewajarnya. Mereka kurang untuk memahami perasaan atau emosi orang lain. Kanak-kanak Autisme lebih gemar untuk melakukan perbuatan yang berulang-ulang seperti menghayun atau memusing-musingkan badan atau keadaan yang lebih merbahaya seperti menggigit atau memghantuk kepala. Malahan, mereka juga lambat bertutur berbanding kanak-kanak seusia mereka. Dalam perbualan juga, mereka lebih gemar untuk membahasakan diri mereka dengan menggunakan nama mereka sendiri berbanding menggunakkan kata ganti diri ‘saya’. Selain dari itu, kanak-kanak autisme juga tidak pandai untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain semasa bemain. Ada diantara mereka yang menggunakan melodi lagu ketika bercakap mengenai sesuatu cerita dan kebanyakkan mereka tidak berminat untuk berkongsi cerita bersama rakan perbualan mereka. Kebanyakkan kanak-kanak autisme adalah kurang sensitif kepada rasa sakit namun mereka lebih sensitif kepada bunyi, sentuhan serta sensori (deria rasa). Sifat sensitiviti mereka yang kuat ini merupakan jawapan mengapa mereka yang tidak mahu dirangkul atau dipeluk.
 
Adakah suntikan vaksin berhubungkait dengan autisme?
Pada masa dahulu, suntikan vaksin turut dikaitkan dengan autisme, namun kajian menunjukkan bahawa tiada kesimpulan saintifik yang dapat menyokong teori ini. Pada masa kini, masih terdapat kajian yang sedang dijalankan berkenaan perkara ini.
Sekiranya, anak anda menunjukkan simptom-simptom autisme, segeralah membawa anak anda berjumpa dengan doktor.

MASALAH PEMBELAJARAN

1.0 PENGENALAN
Salah satu daripada kategori kanak-kanak keperluan khas yang telah dikenalpasti ialah kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Pelajar bermasalah pembelajaran merupakan golongan kanak-kanak berkeperluan khas yang paling ramai. Dalam bab ini, kita membincangkan dengan lebih mendalam mengenai pelajar bermasalah pembelajaran.

Tumpuan ialah kepada definisi dan sebab-sebab berlakunya masalah pembelajaran. Juga dibincangkan ialah ciri-ciri dan kaedah mengenalpasti pelajar bermasalah pembelajaran. Akhirnya, tumpuan ialah kepada cara menempatkan pelajar-pelajar ini dan kaedah pengajaran yang sesuai bagi mereka.
2.0 DEFINISI MASALAH PEMBELAJARAN
2.1 Individual with Disabilities Education Act (IDEA), 1997
Masalah pembelajaran didefinisikan sebagai masalah dalam satu atau lebih daripada proses asas psikologi melibatkan pemahaman atau penggunaan bahasa sama ada pertuturan atau penulisan di mana masalah yang dihadapi mengakibatkan kebolehan mendengar, berfikr, bertutur dan membaca yang tidak sempurna. Ini tidak termasuk mereka yang bermasalah pembelajaran akibat daripada ketidakupayaan penglihatan, pendengaran dan motor, kerencatan akal, gangguan emosi atau kekurangan dalam persekitaran, budaya atau ekonomi.
2.2 The National Joint Committee on Learning Disabilities (NJCLD), 1990
Mentakrifkan masalah pembelajaran sebagai merujuk kepada satu kumpulan masalah yang pelbagai yang mengakibatkan kesukaran yang nyata mendengar, bertutur, membaca, menulis, membuat keputusan atau menyelesai masalah matematik. Masalah ini berpunca daripada ketidakfungsian sistem saraf pusat dan boleh berlaku pada bila-bila tahap umur. Masalah mengawal tingkah laku, persepsi dan interaksi sosial mungkin wujud bersama masalah pembelajaran tetapi ia sendiri tidak akan menyebabkan kepada berlakunya masalah pembelajaran. Masalah pembelajaran mungkin wujud seiring dengan ketidakupayaan lain seperti masalah sensori, kerencatan mental atau gangguan emosi.

Secara kesimpulannya, pelajar bermasalah pembelajaran terdiri daripada mereka yang kurang kemampuan belajar disebabkan oleh masalah pemahaman, pertuturan, penulisan dan penyelesaian masalah matematik. Ini tidak termasuk masalah pembelajaran disebabkan oleh kerencatan mental, kurang upaya penglihatan, pendengaran, gangguan emosi dan tingkah laku.
3.0 SEBAB-SEBAB MASALAH PEMBELAJARAN
Masalah pembelajaran boleh terjadi disebabkan kecederaan otak, keturunan, ketidakseimbangan biokimia dan persekitaran.
3.1 Kecederaan Otak
Kecederaan otak boleh berlaku sebelum kelahiran bayi di mana ibu yang mengandung mengambil alkohol atau dadah, dijangkiti demam campak atau merokok. Kecederaan otak juga boleh berlaku semasa kelahiran seperti bayi kekurangan oksigen. Selepas kelahiran, kecederaan otak boleh berlaku disebabkan demam panas, hentakan yang kuat pada bahagian kepala akibat kemalangan dan jangkitan seperti meningitis.
3.2 Keturunan
Terdapat banyak kajian menunjukkan, keturunan merupakan salah satu sebab kepada masalah pembelajaran. Penyelidik mendapati bahawa kira-kira 30-50% kanak-kanak menghadapi masalah pembelajaran apabila mempunyai ibu atau bapa atau kedua-duanya menghadapi masalah pembelajaran. Ini menunjukkan masalah pembelajaran boleh diwarisi daripada keturunannya.
3.3 Ketidakseimbangan Biokimia
Ketidakseimbangan biokimia juga boleh menyumbang kepada masalah pembelajaran. Ketidakseimbangan bahan kimia dikatakan boleh menjadi punca kepada masalah hiperaktiviti yang boleh mengakibatkan kesukaran memberi tumpuan ke atas kerja sekolah.
3.4 Faktor Persekitaran
Selain kecederaan otak, keturunan dan ketidakseimbangan biokimia, faktor persekitaran juga boleh menjadi penyebab kepada masalah pembelajaran. Persekitaran yang serba kekurangan kerana kemiskinan seperti pemakanan yang tidak seimbang, keadaan rumah yang tidak selesa, persekitaran yang kotor dan bising, hubungan ibu bapa dengan anak-anak tidak mesra atau tidak mencukupi boleh menimbulkan masalah pembelajaran di kalangan kanak-kanak.

Terdapat bukti menunjukkan bahawa kanak-kanak bermasalah yang tidak menerima pengajaran yang sistematik, telah memudaratkan lagi masalah pembelajaran yang dihadapi. Oleh itu, pengajaran yang sistematik patut diaturkan untuk semua pelajar bermasalah pembelajaran.
Masalah Pembelajaran


Apakah Sindrom Down?
Sindrom Down ialah penyakit keturunan disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seseorang kanak-kanak. Tiga salinan kromosom 21 (biasanya hanya dua salinan) terdapat dalam setiap satu sel.

Penyakit ini juga dikenali sebagai Trisomy 21. Kanak-kanak yang terlibat lahir dengan ciri-ciri fizikal dan boleh juga mempunyai masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengannya
Nota:
  • Sindrom bermakna kehadiran sekumpulan gejala dan tanda yang boleh menunjukkan kepada sesuatu penyakit
  • Sindrom ini mengambil nama seorang doktor Inggeris bernama Dr. Langdon Down, orang pertama yang menjelaskan penyakit ini pada tahun 1866
Apakah kekerapan terjadinya Sindrom Down?
Kadar kejadian keseluruhannya ialah satu pada setiap 800 kelahiran. Risiko menjadi tinggi dengan bertambahnya umur ibu semasa hamil.

Bagaimanakah Sindrom ini disahkan?
Pengesahan penyakit ini dilakukan dengan ujian darah kanak-kanak itu bagi mengesan kehadiran kromosom tambahan kromosom nombor 21. Ujian juga boleh dilakukan semasa kehamilan melalui ujian darah, pemeriksaan ultrasound atau analisis cecair mentuban (amniotic fluid)

Ciri-ciri fizikal
  • Tubuh yang pendek
  • Kepala bersaiz kecil
  • Raut wajah yang rata dengan kedudukan mata sedikit ke atas
  • Lidah terjelir
  • Satu garis lurus di tapak tangan, tangan yang besar, jari tangan yang pendek dan jurang yang besar di antara ibu jari dengan jari kedua kaki.
  • Pertumbuhan yang lambat.
  • Kecacatan mental yang ringan atau sederhana
Masalah-Masalah Kesihatan yang Berkaitan Sindrom Down dan Rawatan
  1. Pertumbuhan yang lambat, kesukaran untuk belajar dan bertutur
    • Kanak-kanak berkeadaan lembik semasa lahir, tumbesaran terbantut di peringkat bayi dan kanak-kanak.
    • Lambat atau sukar dalam pembelajaran
    • Lambat dalam pertuturan

  2. Kanak-kanak ini akan mendapat faedah yang besar dari program pengesanan awal, pendidikan khas dan rawatan pertuturan. Dapatkan maklumat dari doktor atau jururawat anda tentang kemudahan perkhidmatan pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas yang paling hampir dengan tempat tinggal.
  3. Penyakit jantung kongenital
    • Kanak-kanak Sindrom Down biasanya lebih berisiko tinggi untuk dilahirkan dengan penyakit jantung berbanding dengan kanak-kanak biasa

  4. Doktor akan membuat saringan terhadap kanak-kanak Sindrom Down untuk mengesan sebarang penyakit jantung kongenital dan merujuk untuk penilaian lanjut jika perlu. Penyakit ini mungkin memerlukan rawatan perubatan atau pembedahan.
  5. Kecacatan pertumbuhan perut
    • Intestinal atresia
    • Tiada dubur

  6. Biasanya kecacatan ini dapat dikesan selepas lahir dan perlu di bedah. Walaupun jarang berlaku, tetapi kadar kejadian ini tinggi berbanding dengan kanak-kanak biasa.
  7. Mudah mendapat jangkitan
    • Pemberian imunisasi boleh diberi mengikut jadual. Bawalah berjumpa dengan doktor segera bila demam atau nampak kurang sihat.
  8. Masalah pendengaran dan penglihatan
    • Saringan dan rawatan perlu dibuat bergantung kepada masalah yang dikesan.
  9. Gangguan fungsi Tiroid
    • Pengeluaran hormon yang rendah, hipotiroid. Perlu rawatan penambahan hormon, contohnya tiroxin
    • Pengeluaran hormon yang berlebihan, hipertiroid. Perlu rawatan untuk mengawal pengeluaran hormon.
  10. Barah (kanser)
    • Leukemia akut lebih mudah berlaku kepada Sindrom Down berbanding kanak-kanak biasa
    • Saringan dan rawatan perlu dibuat bergantung kepada keadaan.
Pencegahan
  • Kaunseling keturunan: Risiko untuk mendapat anak berikutnya yang juga Sindrom Down bergantung kepada jenis kecacatan kromosom anak dan umur ibu bapanya.
  • Kadar risiko kejadian berulang adalah 1%
  • Amalan merancang keluarga
Pemulihan
  • Program intervensi
  • Terapi carakerja
  • Terapi pertuturan
  • Pendidikan khas
  • Latihan kemahiran khas
Tujuan rawatan pemulihan ialah bagi membantu kanak-kanak tersebut mencapai keupayaan dan perkembangan maksima serta mampu berdikari.
Program pemulihan boleh didapati di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau di pusat-pusat anjuran pertubuhan sukarela bukan kerajaan. Maklumat lanjut boleh didapati dari pusat sumber tempatan seperti: hospital (klinik kanak-kanak), klinik kesihatan, Pejabat Kebajikan Masyarakat atau Pejabat Pendidikan (Unit Pendidikan Khas).
Kanak-kanak ini perlu didaftarkan seawal mungkin di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan. Ini bagi memudahkan ia mendapat jagaan kesihatan, kebajikan dan penempatan di sekolah-sekolah khas supaya mereka mendapat pendidikan yang sempurna. Doktor yang merawat perlu mengisi borang-borang tertentu untuk memudahkan merancang program intervensi awal.
Kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat layak untuk mendapat beberapa keistimewaan rawatan kesihatan dari klinik atau hospital kerajaan.


ANAK HIPERAKTIF


Memahami sifat hiperaktif anak penting bagi membantu ibu bapa mengendalikannya dengan baik. Anak hiperaktif sukar duduk diam, kurang memberi tumpuan kepada sesuatu perkara dan bertindak spontan mengikut kehendak hati serta sukar mengasingkan maklumat yang diterima.
Ibu bapa yang memiliki anak hiperaktif tidak seharusnya kecewa atau menyesali tentangnya, sebaliknya bersyukur dan menganggapnya suatu anugerah dan ujian daripada Allah s.w.t..
Anak hiperaktif sangat aktif dari segi fizikal dan mental berbanding kanak-kanak lain. Ingatan mereka kuat tetapi kelemahan mereka adalah cepat bosan dan kurang memberi fokus kepada sesuatu perkara yang mana akan menjejaskan ingatan jangka panjang mereka.
Selain mereka lebih pintar dan lebih kreatif berbanding rakan-rakan seusianya, mereka bersifat berani. Inilah yang sering menjadi kebimbangan ibu bapa kerana anak hiperaktif jarang mempertimbangkan akibat daripada tindakan yang dilakukannya samada merbahayakan dirinya atau orang lain. Oleh itu, kanak-kanak hiperaktif memerlukan pengawasan rapi serta perhatian yang lebih daripada ibu bapa.
Ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa bersama mereka untuk melayani kerenah yang kadang-kadang diluar jangkaan dan memalukan. Perkataan yang diungkapkan oleh anak hiperaktif ditambah dengan sifat umum kanak-kanak yang suka berterus terang boleh memalukan rakan-rakan kita di dalam sesetengah keadaan. Walaupun jika difikirkan, memang apa yang diperkatakan mereka ada kebenarannya tetapi kebiasaannya tidak berlapik. Contohnya dengan kata-kata ‘eh.. orang tu tak tutup aurat!’ di hadapan seorang wanita muslim, telah menjadikan kita berasa segan walaupun ianya benar.
Kanak-kanak hiperaktif suka berkawan. Mereka cepat bosan sekiranya tiada kawan untuk berkomunikasi dan bermain. Ibu bapa hendaklah menyediakan dan merancang aktiviti yang pelbagai bagi mengatasi sifat cepat bosan mereka. Oleh itu ibu bapa perlu kreatif merancang pelbagai aktiviti menarik dan selamat untuk mereka.

Hiperaktif

No comments:

Post a Comment

Free HTML Blog 4u